About


SIXTHINDERA bermaksud 'melihat atau merasa sesuatu dalam perspektif yang berbeza, bukan hanya dengan menggunakan lima pancaindera manusia'. Tidak sekali-kali bermaksud melawan fitrah manusia namun kami yakin dengan mengadaptasi maksud ini ke dalam kemahiran fotografi, kami dapat memberikan yang terbaik kepada pelanggan kami dari perspektif yang berbeza.

Bermula dengan sebuah karya yang dihasilkan dengan menggunakan kamera telefon bimbit biasa, sehinggalah memiliki sebuah digital kamera DSLR mengikut kemampuan masing-masing, bidang fotografi ini diceburi secara separuh masa memandangkan masing-masing masih mempunyai kerjaya yang tetap. Namun begitu, dengan minat yang mendalam akhirnya kami telah mengambil keputusan untuk melangkah setapak ke hadapan mengharung cabaran dunia fotografi dalam perniagaan.

Dengan jenama CandidArts Photography sebagai langkah pertama pada awal tahun 2010, kami menjelajah ke serata tempat dan menghadapi pelbagai ragam dan bentuk cabaran fotografi yang ternyata telah membantu kami memperluaskan penguasaan terhadap pelbagai teknik fotografi. Dalam masa yang sama, kami juga banyak mendapat tunjuk ajar secara peribadi dari beberapa orang jurugambar terkemuka tanahair yang berada di Sabah mahu pun di Semenanjung Malaysia.

Akhirnya kami mengambil keputusan untuk melibatkan diri secara serius dalam perniagaan fotografi. Tanpa mengenepikan genre lain, kami memilih bidang Fotografi Perkahwinan sebagai bidang utama dan bermulalah penjenamaan semula Candidarts Photography kepada SIXTHINDERA sebagai syarikat rasmi pada Ogos 2011. Seringkali ditanya mengapa Fotografi Perkahwinan menjadi pilihan utama. Jawapan kami ringkas sahaja iaitu 'MEMORIES MAY FADE AWAY BUT PICTURES LAST FOREVER'.
Sehingga ke hari ini SIXTHINDERA tidak putus-putus menerima tawaran sebagai jurufoto/juruvideo rasmi majlis perkahwinan, sesi fotografi lokasi luar, pertunjukan fesyen, potret, majlis sambutan ulangtahun dan fotografi komersil. Pelanggan kami terdiri daripada pelbagai latarbelakang dan taraf hidup dari seluruh pelusuk Sabah juga Wilayah Persekutuan Labuan dan Negara Brunei Darussalam.

Di SIXTHINDERA, kami juga percaya, gambar yang cantik sahaja tidak memadai untuk para pelanggan kami. Dengan pengalaman memberi khidmat kepada ratusan pelanggan sejak ditubuhkan, kami juga amat menitik beratkan layanan yang terbaik kepada semua pelanggan kami. Sebagaimana kejayaan kami dengan para pelanggan kami yang terdahulu, kami yakin akan sentiasa dapat memberikan yang terbaik kepada para pelanggan kami yang akan datang.




0 comments:

Post a Comment

 

©Copyright 2011 SixthIndera Photography | TNB